ULANGTAHUN KE 11 MENARA KUALA LUMPUR &
MAJLIS PELANCARAN SETEM KORPORAT

 

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2007 – Ingat tarikh ini, pada tanggal 1hb Oktober pada setiap tahun di kalendar anda! Tarikh keramat ini adalah ‘Ulangtahun’ Menara Kuala Lumpur menyambut kelahirannya dan tahun ini adalah ulangtahun buat kali ke-11. Menara Kuala Lumpur merupakan menara telekomunikasi yang tertinggi di Asia Tenggara dan ke-4 tertinggi di dunia serta salah satu pusat destinasi pelancongan yang popular negara yang terletak di puncak Bukit Nanas pada ketinggian 421 meter.  Menara Kuala Lumpur juga memainkan peranan yang penting dalam sejarah telekomunisasi dan penyiaran Malaysia.

 

Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), adalah syarikat yang dipertanggungjawabkan oleh pihak kerajaan Malaysia untuk menguruskan menara yang kini merupakan ikon kepada ibukota negara. Ianya juga turut dikenali dengan nama ‘KL TOWER’ di mata dunia dan kini menjadi satu hub pelancongan yang menawarkan destinasi menarik untuk para pelancong dari dalam dan luar negara dengan memberi pengalaman menarik dan unik dari segi mempromosikan ‘flora dan fauna’ (Nature), ‘aktiviti lasak ’ (Adventure) serta ‘kesenian dan warisan’ (Culture).

 

Justeru itu, Menara Kuala Lumpur setelah berdiri megah selama 11 tahun pada tanggal ini ingin memperkenalkan koleksi terhad ‘Setem Korporat Menara Kuala Lumpur’ buat julung kalinya semenjak dibuka pada orang ramai. Koleksi setem korporat ini adalah hasil kerjasama bersama pihak Pos Malaysia Bahagian Filateli setelah setem pengenalan Menara Kuala Lumpur yang pertama dikeluarkan oleh Pos Malaysia pada tahun 1996 yang lalu

 

Objektif menghasilkan setem korporat ini adalah untuk meningkatkan imej korporat Menara Kuala Lumpur yang juga merupakan sebuah anak syarikat milik Telekom Malaysia Berhad (TM). Ini juga akan menaikkan nilai penjenamaan korporat terutamanya dalam industri pelancongan dan hospitaliti dan menyerikan lagi Tahun Melawat Malaysia 2007 serta Sambutan Kemerdekaan Negara yang ke-50 tahun.  Di samping itu, ia merupakan salah satu cara untuk Menara Kuala Lumpur mempromosikan produk dan perkhidmatan yang boleh dikembangkan ke pasaran pengumpul setem seperti ahli ‘SODA’ (Standing Order Deposit Account), pelajar sekolah serta dapat menarik minat dan perhatian orang ramai dan juga para pelancong dalam dan luar negara. Koleksi setem Menara Kuala Lumpur adalah terhad!  Maka ia memberi peluang kepada pengumpul dan penggemar setem untuk terus mengumpul dan menjadikan koleksi setem Menara Kuala Lumpur sebagai salah satu koleksi baru tambahan mereka yang mempunyai nilai komersil pada masa hadapan.

 

Koleksi setem korporat ini mempunyai lakaran gambar Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Star dan Muzium Telekom bersaiz 28mm  x  38mm  yang direka khas dengan nilai denominasi RM0.50 dan RM0.30. Set ini diberikan bersama pek cenderamata yang merangkumi butiran teknikal, ‘stamp cover’ dan sampul surat. Selain itu, koleksi ini turut diberikan bersama koleksi terhad setem ‘World Federation of Great Towers’ dimana Menara Kuala Lumpur merupakan ahli persekutuan yang berprestij dan bertaraf antarabangsa ini.

 

Menara Kuala Lumpur telah berdiri megah di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur dengan pelbagai pencapaian yang membanggakan negara seperti menjadi tuan rumah bagi acara yang bertaraf antarabangsa seperti ‘KL Tower International Jump’, ‘Towerthon’ serta pada tahun ini merupakan kali pertama Menara Kuala Lumpur telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan dunia ‘World Federation of Great Towers’ yang telah dilangsungkan pada 2-7hb September 2007 yang lalu.

 

Bagi para penggemar dan pengumpul setem yang ingin mendapatkan koleksi terhad setem korporat Menara Kuala Lumpur ini mereka bolehlah menghubungi talian 03-20205453 dan koleksi terhad ini juga boleh dibeli di Menara Kuala Lumpur, Menara Alor Star dan juga di Muzium Telekom bermula pada bulan Oktober ini.

 

Back